Jamil Khir Baharom

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengesahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih menunggu kebenaran pihak Istana Johor samada mengizinkan pihaknya untuk mengadap Baginda Sultan Johor.

Jelasnya, kebenaran itu perlu bagi Jakim mengadakan pertemuan dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi membincangkan hal berkaitan isu pegawai kader Jakim di Penjara Kajang, Zamihan Mat Zain.

Pertemuan itu juga diadakan untuk mengadakan perbincangan antara Istana Johor dan JAKIM kerana tindakan Zamihan yang menyampaikan ceramah mengenai dobi mesra muslim seperti ditular di media sosial.

“Tunggu bila kebenaran Sultan Johor (untuk mengadap Baginda),” jawab Jamil Khir kepada media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Peguam Syarie Malaysia di ibu negara hari ini.

Hampir sebulan berlalu, Jakim masih gagal bertemu Sultan Johor setelah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Jamil Khir mengatakan hasrat untuk bertemu Sultan Johor.

Pada hari yang sama, Sultan Ibrahim menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) agar tidak perlu lagi membuang masa berurusan dengan Jakim ekoran perkara itu.

Malah Sultan Johor turut bertitah agar Jakim tidak lagi perlu memberi pandangan kepada negeri Johor.

Pada 8 Oktober lalu, Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) dalam satu ceramahnya di Shah Alam jelas mengkritik Sultan Ibrahim ekoran Sultan Johor murka dengan pemilik sebuah kedai dobi layan diri di Muar yang tidak membenarkan pelanggan bukan Islam menggunakan perkhidmatannya.

Dalam pada itu, Jamil Khir turut melancarkan portal ‘Canlaw Syariah’ hasil usaha Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Portal ini membolehkan orang ramai membuat carian peguam Syarie yang bertauliah secara dalam talian.

Langkah itu akan menjadikan institusi perundangan Syariah lebih mudah telus dan mesra teknologi. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.