Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pembangkang ikhlas dalam soal Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan jangan menipu rakyat kononnya GST patut dihapuskan tetapi dalam masa sama akan mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sudah lapuk.

“Mansuhkan sahaja cukai barang dan nyatakan di mana mereka (pembangkang) mahu menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion setahun. Usahlah perdayakan rakyat,” kata perdana menteri dalam catatan terkini blog rasminya (www.najibrazak.com), hari ini.

Najib menjelaskan bahawa SST yang mahu diguna pakai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masalah percukaian bertindih dan juga perhitungan berganda dalam pengiraan nilai produk serta mempunyai masalah ketirisan akibat manipulasi pemborong dan penjual.

Beliau berkata, pengenalan sistem SST bukan sahaja keterbelakang, malah akan membebankan rakyat secara tersembunyi.

Dr Mahathir sedar akan perkara itu dan pernah mengakui GST lebih baik daripada SST kerana pentadbiran beliau sendiri yang mengesyorkan untuk menaik taraf cukai kepada sistem GST, kata Najib.

“Akhirnya Tun Dr Mahathir bersetuju dengan kerajaan bahawa GST menampung kekurangan hasil minyak sebanyak RM40 bilion.

“Namun kerana beliau keterlanjuran kata menjanjikan pemansuhan GST, beliau sekarang ini mahu menggantikan GST dengan SST, sebuah sistem lapuk dan tersembunyi yang telah ditamatkan oleh 160 buah negara di dunia. Sekali lagi Tun melakukan u-turn (pusingan U),” jelas perdana menteri.

Beliau berkata, Dr Mahathir ingin menampakkan seolah-olah pembangkang akan menghapuskan GST tetapi sebaliknya akan menggantikan dengan SST dengan kadarnya tidak dimaklumkan kepada pembeli bagi mengemis undi.

“Bukankah ini satu pembohongan. Di bawah sistem SST adalah tidak perlu untuk penjual maklum jumlah cukai dalam resit.

“Jadi mereka boleh mengenakan cukai pada kadar yang tidak boleh dikawal penguat kuasa, dan rakyat juga tidak sedar mereka masih dicukai walaupun diberitahu GST dimansuhkan. Tidak dengan GST di mana penjual perlu secara telus menyatakan jumlah kadarnya yakni enam peratus,” jelasnya.

Najib menegaskan, dari segi perbandingan sistem, GST adalah sistem yang moden dan lebih sistematik daripada SST.

Katanya, GST diperkenalkan kerana ia lebih moden, telus dan mempunyai perundangan yang lengkap bagi mengelakkan penipuan dan diguna pakai oleh 160 buah negara di dunia, selain mempunyai cara perhitungan dan piawaian yang konsisten dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. tak payah lah nak tipu rakyat dengan alasan sst cukai berganda . gst sebenarnya cukai berganda itu . satu barang kalau 3 kali jual beli cukai naik 3 kali 6% kenapa menteri tak sedar atau perbodohkan rakyat

Comments are closed.