Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang.

KUALA LUMPUR – Janji serta manifesto pilihan raya yang dikeluarkan oleh pembangkang walaupun setelah memenangi beberapa buah negeri ternyata omong-omong kosong dan hanya sekadar populis.

Menurut Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang, sebelum Bajet 2018, pembangkang telah mengemukakan Bajet Alternatif, antaranya seperti pendidikan percuma sekiranya Pakatan Pembangkang menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, Keng Liang berkata, pada Bajet Selangor 2018, kerajaan negeri Selangor tidak pula memperuntukkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Selangor walaupun mereka memiliki Unisel dan Kuis.

“Adakah janji pendidikan percuma dalam Bajet Alternatif pembangkang sekadar umpan politik untuk anak-anak muda mengundi mereka?

“Mengapa tidak hapuskan sahaja yuran pendidikan di Unisel dan Kuis serta merta? Desaklah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk pinda dan masukkan pendidikan percuma dalam bajet Selangor 2018. Bukan kuasa dalam tangan anda?

“Julai lalu, Pemuda Pakatan Harapan juga telah membentangkan manifesto pendidikan percuma jika menang pilihan raya akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan Perhimpunan Persidangan Perwakilan Pemuda ke-46 di sini hari ini.

Keng Liang turut mempersoalkan Bajet Alternatif pembangkang yang mana Pakatan Harapan berjanji untuk menghapuskan tol di semua lebuh raya di negara ini.

“Seperti yang dinyatakan dalam Bajet 2018, kerajaan BN telah bersetuju untuk memansuhkan tol Batu Tiga, Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Eastern Dispersal Link di Johor.

“Persoalannya, kenapa kerajaan Pakatan Harapan juga tidak bentang mahu hapuskan tol Kesas dan Sprint di mana kerajaan Selangor Pakatan Harapan punya pegangan saham?

“Realiti atau retorik untuk tarik pengundi sebenarnya? Di mana sebenarnya kepentingan rakyat yang sering menjadi laungan pembangkang? Tolong ikhlas demi perjuangan dan bukan berterusan membohongi rakyat,” katanya.

Jelas Keng Liang, semenjak tiga tahun lepas, kerajaan BN telah mengumumkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi Sabah dan Sarawak serta Malaysia Singapore High Speed Rail yang bakal dibangunkan di kawasan antara negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan dalam Bajet 2018, pelaksanaan Lebuhraya Pantai Barat yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping, Perak.

“Bagi negeri Pulau Pinang pula, dalam Bajet 2018, kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta bagi projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Siapa sebenarnya yang retorik dan siapa sebenarnya yang jaga kepentingan rakyat? Anda boleh nilai sendiri. Kerajaan BN menjaga kepentingan semua tanpa sebarang batasan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Keng Liang menempelek manifesto Anti Rasuah Pakatan Harapan yang telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dua minggu lepas.

Kata beliau, Pemuda Gerakan bersetuju semua pihak harus mengambil peranan masing-masing bagi memerangi isu rasuah dalam negara.

Bagaimanapun, menurut Keng Liang, pembangkang seharusnya telus dalam apa yang cuba diperjuangkan oleh mereka daripada hanya mengutamakan agenda menjatuhkan kerajaan BN melalui manifesto sebegini.

“Saya mahu tanya, mengapa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang ketika ini sedang menghadapi kes rasuah tidak mengambil cuti sehingga ianya selesai? Sebaliknya Guan Eng seolah-olah kebal dan tidak bersalah.

“Sebelum ini bukan pembangkang menyatakan pemimpin yang didakwa di Mahkamah bagi kes rasuah perlu bercuti sehingga selesai kes mereka?

“Apa guna Manifesto Anti Rasuah jika tidak mengamalkan apa yang dikatakan oleh mereka? Ini adalah antara sikap hipokrit politik yang sangat jelas,” tegasnya. – MalaysiaGazette