Banjir kini menjadi ujian buat ahli politik baharu yang menang PRU14 pada bulan lalu.
Gambar hiasan

GEORGETOWN – Banjir yang melanda di Pulau Pinang sejak Sabtu lepas reda sepenuhnya selepas tiga pusat penempatan banjir di dua daerah di negeri ini ditutup hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Polis berkata, dua pusat pemindahan di Seberang Perai Utara (SPU) dan satu di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ditutup sepenuhnya bermula 12 tengah hari hingga 3 petang ini.

“Seramai 1,040 orang daripada 243 keluarga yang berlindung di empat pusat pemindahan itu telah pulang ke rumah masing-masing selepas air banjir surut sepenuhnya,” katanya di sini, hari ini.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 0.2 dan 1 meter diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Setakat ini, banjir terburuk di Pulau Pinang telah meragut tujuh nyawa. – Bernama