SHANGHAI – Alibaba Group mahu meningkatkan pengalaman pembeli dan penjual menerusi platform e-dagangnya berdasarkan pentingnya Malaysia sebagai hab infrastruktur menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) bagi rantau Asia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Daniel Zhang berkata kumpulan itu melancarkan kempen media dan sosial pertamanya tahun ini di Malaysia susulan sambutan menggalakkan daripada pengguna Cina Malaysia sejak beberapa tahun lepas menerusi laman web e-dagangnya, Taobao.

“Kami mahu aktif melaksanakan strategi eksport dengan membantu mengembangkan jenama tempatan dan antarabangsa, dan pada masa yang sama terus melibatkan pelanggan untuk memahami amalan membeli-belah mereka dalam mewujudkan permintaan yang lebih besar.

“Memandangkan kami sedang berkembang di Malaysia, sudah semestinya kami mahu terus mendorong pertumbuhan. Kami merancang melaksanakan lebih banyak kempen untuk Malaysia dan negara lain di Asia Tenggara memandangkan terdapat lebih 600 juta penduduk untuk diteroka,” kata Zhang pada sidang akhbar sempena Festival Membeli-belah Global 11.11 2017 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi konsep ‘Runcit Baharu’, yang kini dilaksanakan di beberapa pasar raya dan kedai dengan kerjasama pedagang di China, beliau berkata ia hanya berdaya maju untuk dilaksanakan apabila konsep itu matang dan stabil.- BERNAMA