Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng berucap pada Kongres Khas Parti DAP 2017 di Pusat Konsyensen Ideal (IDCC), Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 12 NOVEMBER 2017

SHAH ALAM – DAP mendakwa Pas akan bersekutu dengan Barisan Nasional (BN) untuk menentang gabungan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke-14 depan nanti, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu membidas sikap Pas sudah berubah wajah apabila kini sudah menjadi rakan baik kepada UMNO dan BN sekarang dan menjadikan senario politik berbeza seperti pilihan raya sebelum ini.

“Kita lihat Pas sudah berubah wajah dan sekadar jadi rakan kuat UMNO dan BN sehingga dijangka bersekutu dengan BN untuk lawan Pakatan,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu semasa ucaptama Kongres Khas DAP 2017 di sini hari ini.

Pas dan DAP sebelum ini menjalinkan kerjasama dalam dua pilihan raya umum pada tahun 2008 dan tahun 2013 sehingga terbentuknya gabungan, Pakatan Rakyat.

Gabungan tersebut akhirnya berpecah pada Jun 2016, kemudaan DAP bersama PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) menubuhkan PH sementara Pas bersama beberapa parti lain menubuhkan satu lagi blok pembangkang lain, Gagasan Sejahtera.

Sementara itu, Guan Eng juga mengingatkan penyokong parti bahawa pihak lawan akan berterusan menyerang DAP dengan memainkan sentimen perkauman dan agama demi untuk memenangi hati pengundi kaum Melayu.

“Manakala BN semakin rancak bermain isu perkauman dan sentimen agama semata-mata mahu memenangi undi Melayu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng juga mempertahankan bapanya, Lim Kit Siang yang cuba digambarkan sebagai bahaya kepada orang Melayu dan dibenci di Malaysia.

“Kit Siang digambarkan sebagai ahli politik yang paling dibenci dalam sejarah Malaysia semata-mata mereka mahu DAP dilihat sebagai racun dan bisa kepada pengundi Melayu dan mana-mana parti majoriti Melayu yang bekerjasama dengan DAP juga menjadi racun kepada orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast