Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lahad Datu, Datuk Seri Dr Anil Sandhu bercakap kepada media ketika di Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO bukan parti yang bermain politik belakang tabir atau mahu ‘tebuk atap’ bagi menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya parti itu mahu hubungan politik dibina atas dasar kejujuran, keterbukaan dan saling menghormati.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lahad Datu, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata, sudah tiba masanya semua pihak menghentikan permainan naratif mengenai hubungan UMNO dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ucapan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 jelas menunjukkan parti itu tidak lagi mahu berselindung dalam menyatakan pendirian berhubung dinamika politik semasa.

“Saya suka melihat kelantangan Presiden kali ini. Mesej yang mahu disampaikan cukup jelas dan terus terang.

“Kita faham keadaan dinamik politik hari ini tidak sama lagi seperti apa yang dijanjikan pada awalnya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada PAU2026 di sini, hari ini.

Anil berkata, dalam keadaan politik yang semakin menghampiri pilihan raya, UMNO tidak mahu terheret dalam permainan politik yang menggunakan sindiran, tuduhan atau serangan peribadi bagi mencetuskan ketegangan antara parti.

Sebaliknya, katanya, jika hubungan kerjasama mahu diteruskan, ia perlu dilakukan secara ikhlas dan jujur sehingga tamat penggal.

“Kita bukan jenis yang suka janji palsu ataupun nak tebuk-tebuk atap.

“Kalau kita berkawan, kita berkawan secara ikhlas dan jujur sampai ke akhir penggal. Kita tidak akan tebuk atap dan kita tidak akan aniaya sesiapa, apatah lagi mahu membuka aib orang,” katanya.

Namun, Anil memberi amaran bahawa permainan politik menjelang pilihan raya bukan sahaja boleh merosakkan hubungan antara parti, malah berpotensi menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Ujarnya, kemunculan pelbagai naratif, tuduhan dan percaturan politik secara terbuka atau tersembunyi hanya menambahkan ketidaktentuan.

“Kalau nak berkawan, berkawanlah dengan baik. Kalau nak lawan, kita lawan dengan baik-baik juga, ada yang takut atau main dari belakang,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Anil turut menyentuh isu Datuk Seri Najib Razak, khususnya berhubung proses berkaitan pengampunan yang menurutnya tidak sepatutnya terus berlarutan tanpa penjelasan yang jelas.

Beliau mempersoalkan mengapa proses berkenaan dilihat semakin rumit sedangkan ia mempunyai prosedur yang perlu diikuti.

“Kalau sudah ada (proses) dari awal, kenapa lagi nak ditangguh? Kenapa nak dibuat macam-macam?

“Dulu kita boleh bagi pengampunan penuh kepada beberapa individu. Tapi sekarang perkara ini sudah rumit dan dirumitkan,” katanya.

Mengulas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Anil berkata, pilihan raya akan datang tidak harus dilihat semata-mata sebagai usaha UMNO mengekalkan momentum politik.

Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai masa yang tepat untuk rakyat menentukan hala tuju negara.

“PRU16 ini bukan juga mahu mengekalkan momentum. Ini masa yang tepat, ini right moment,” katanya.

Beliau berkata, rakyat kini semakin muak dengan politik berasaskan janji, terutama apabila berdepan isu kos sara hidup dan ketidaktentuan harga.

“Rakyat hari ini tidak mahu lagi yang berjanji-janji. Mereka tidak mahu hari ini harga naik, esok turun, lepas itu lusa naik lagi,” katanya.

Anil turut menjangkakan perkembangan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh menjadi antara penentu kepada langkah seterusnya di peringkat nasional.

“Kita beri lagi enam bulan. Selepas Melaka, kalau tidak juga, mungkin ada lagi negeri-negeri yang akan bubar.

“Saya rasa lebih baik beri peluang untuk PRU16 akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, Anil menyokong seruan supaya UMNO membuka ruang kepada bekas ahli yang pernah meninggalkan parti untuk kembali bersama.

Katanya, mereka yang pernah tersalah langkah atau tersasar daripada perjuangan parti wajar diberi peluang untuk kembali tanpa terus dihukum berdasarkan perbezaan masa lalu.

“Mesej Presiden cukup jelas. Yang mana tersalah jalan, yang mana tersalah haluan, kita panggil balik. Kita satukan balik,” katanya.

Menurutnya, kekuatan sebenar UMNO akan lebih terserlah sekiranya mereka yang pernah berpecah mampu kembali duduk semeja dan mengetepikan kepentingan peribadi.

“Kalau semua yang bekas-bekas keluar bersatu hati, result will come very good.

“Keputusan itu bukan untuk mereka, bukan untuk parti, tetapi untuk rakyat,” katanya.

Anil berkata, perbezaan pandangan sepatutnya diselesaikan dalam parti melalui ruang perbincangan dan perbahasan, bukannya dengan membawa segala pertikaian ke luar.

“Sentimen di luar parti itu biasa. Tetapi bila kita di dalam, kita boleh berbincang, kita boleh bersuara dan berkongsi pandangan.

“Itu lebih baik daripada kita bersuara di luar,” katanya.

Anil turut memberi isyarat bahawa UMNO bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai matlamat untuk membawa perubahan serta memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, kemunculan kelompok dengan warna politik berbeza tidak semestinya menjadi penghalang kepada kerjasama sekiranya semua pihak mempunyai keikhlasan untuk bergerak ke hadapan.

“Biarlah kita bersatu kali ini demi rakyat, demi bangsa, agama dan Malaysia tercinta,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO kini perlu bersedia menghadapi PRU16 dan pada masa sama terbuka kepada bentuk kerjasama yang boleh mengukuhkan kedudukan parti.

“We are ready to go for PRU16. We are ready to collaborate with anybody.

“Yang penting bukan tikam belakang, bukan main belakang, bukan cerita bukan-bukan. Tetapi kita move forward,” katanya.

Katanya lagi, akhirnya segala percaturan politik perlu kembali kepada tujuan asas perjuangan, iaitu kepentingan rakyat.

“Apa pun yang kita buat ini adalah untuk rakyat. Insya-Allah, kami berjuang dan berkhidmat bersama rakyat dan juga Keluarga Malaysia yang besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here