KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah melarang agensi-agensi di bawah kerajaan negeri Selangor supaya menghentikan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian berkuatkuasa serta merta disifatkan tidak profesional.

Persatuan Aduan Rakyat Malaysia (PAR) mendakwa Menteri Besar  Selangor itu merupakan seorang pemimpin tidak matang dan pengecut dalam menghadapi kritikan media.

Katanya, sebagai Menteri Besar yang mewakili setiap warga Selangor dengan budi bicara Sultan Selangor dan memikul tanggungjawab besar.

“Sebagai pemimpim tertinggi negeri, dia seharusnya berlaku adil, amanah dan profesional.

“Namun, baru-baru ini tindakannya yang mengarahkan kerajaan negeri untuk menghentikan langganan akhbar arus perdana Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah satu tindakan tidak matang.

“Sebab tindakan Azmin ke atas dua akhbar utama itu adalah bukan lagi rahsia besar kerana ia merupakan akhbar pro kerajaan seperti mana peranan yang dimainkan Malaysia Kini, Free Malaysia Today dan Malaysia Insight  kepada pembangkang.

“Keputusan Timbalan Presiden PKR itu membatalkan langganan dua akhbar utama nasional itu juga satu tindakan terdesak Azmin yang menunjukkan dia tidak berani menghadapi kritikan,” kata Presiden Datuk A. Chandrakumanan dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkara berkaitan, beliau berkata, Mohamed Azmin selaku ketua eksekutif tertinggi negeri sepatutnya berupaya mengendalikan kritikan itu secara profesional bukannya memusnahkan periuk nasi kakitangan akhbar itu.

Malangnya, kata beliau, tindakan Mohamed Azmin yang melarang langganan kedua-dua akhbar Melayu itu hanya menunjukkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang tidak ada kematangan politik.

“Azmin dan gengnya dalam Pakatan Harapan harus belajar dari Kerajaan Persekutuan bagaimana untuk mendekati portal media yang menyebarkan fitnah dan unsur negatif atas nama berita dan contoh terbaik adalah Malaysiakini.

“Walaupun menerima kritikan dan serangan pro pembangkang, kerajaan Pusat tidak pernah mengambil tindakan tidak masuk akal seperti yang dilakukan Azmin.

“Adalah tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan Pusat sentiasa berlaku adil dengan media anti kerajaan.

“Bayangkan jika kerajaan Pusat diperintah BN mengikut jejak langkah Azmin, sudah lama Malaysiakini diharamkan

“Pembangkang sentiasa bermantera tentang kebebasan media dan menyokong liputan berita, tetapi sangat lucu Azmini mengambil tindakan terdesak ini yang hanya mencerminkan kepimpinan yang teruk,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast