BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan peruntukan tambahan RM3 juta kepada Sri Murugan Centre (SMC) jika pusat itu berjaya meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar kaum India di negara ini.

“Saya amat berbangga dengan peranan SMC dan saya benar-benar tersentuh. Kalau semuanya dapat keputusan baik, saya akan tambah lagi RM3 juta. Ini janji saya kepada SMC,” katanya ketika berucap pada pelancaran Program ‘Vetri Road to Victory 2018’, di sini hari ini.

SMC merupakan badan sukarela yang ditubuhkan pada 1982 untuk menjalankan kegiatan ke arah meningkatkan tahap pendidikan kaum India di negara ini.

Ahmad Zahid berkata pada Mei lalu kerajaan menyalurkan RM3 juta kepada organisasi itu sebagai tanda sokongan terhadap mereka.

Pada majlis itu beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengarah dan Pengasas SMC Tan Sri Dr M. Thambirajah atas idea penubuhan SMC.

“SMC mengajar kita untuk menghormati guru dan ibu bapa dan budaya menghormati itu diajar oleh semua agama dan inilah nilai baik yang diajar SMC,” katanya merujuk kepada usaha Thambirajah juga merupakan bekas gurunya.

“Agama apa pun, kaum apa pun, bangsa apa sekali pun, guru tetap guru dan guru harus dihormati oleh murid dan pelajarnya,” katanya lagi.

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 160 murid India tahun enam dari sekolah jenis kebangsaan Tamil dalam Parlimen Bagan Datuk.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast