Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tahap kebahagian dikalangan rakyat Malaysia meningkat hasil daripada inisiatif kerajaan yang memperkenalkan beberapa program bantuan yang berkesan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia dan banyak lagi.

Perkara itu terbukti dengan indeks terbaharu yang dikeluarkan dalam Laporan Kebahagiaan Sedunia 2017 (World Happiness Report) dimana menyaksikan kedudukan Malaysia berada pada tangga ke-42 berbanding tangga 47 daripada 155 negara tahun lalu.

“Kejayaan ini disokong daripada peningkatan aspek sokongan sosial, pendapatan per kapita dan kebebasan membuat pilihan.

“Ini termasuklah pemberian BR1M kepada sejumlah tujuh juta isi rumah yang berpendapatan rendah, 334 Klinik 1Malaysia yang menawarkan perkhidmatan dengan bayaran serendah RM1, dan 1,061 Klinik Kesihatan seluruh negara yang mana 242 daripadanya dilengkapi perkhidmatan pakar,” kata Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam jawapan bertulis kepada soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Kedudukan terbaharu itu juga menurut JPM membuktikan langkah-langkah yang diperkenalkan itu berjaya menaikkan taraf kehidupan rakyat setanding dengan negara-negara ASEAN lain serta juga negara dunia yang lebih maju daripada Malaysia.

“Di kalangan negara ASEAN, negara menduduki tempat ketiga selepas Singapura (26) dan Thailand (32), serta jauh lebih baik berbanding negara ASEAN lain, misalnya Filipina (72) dan Indonesia (81).

“Malah kedudukan negara juga lebih tinggi daripada beberapa negara maju seperti Italy (48), Japun (51), Korea Selatan (56) dan Hong Kong (71),” kata JPM lagi. – MalaysiaGazette