Gambar hiasan

JEMPOL – Dua beradik berusia enam dan 10 tahun ditemukan lemas dipercayai tergelincir dalam kolam tadahan di Kampung Padang Lalang, Juaseh, Jempol di sini, 6 petang tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata kedua-dua kanak-kanak malang itu ialah Muhammad Solehudin Mohd Nasir, 6, dan kakaknya Ainul Batrisyah Mohd Nasir, 10 tahun.

“Mangsa dikatakan keluar memancing di sebelah rumah mereka. Jarak antara lokasi dengan rumah mereka kira-kira 200 meter. Kedua-dua mereka berkemungkinan tergelincir jatuh ke dalam kolam tadahan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata Ainul Batrisyah ditemui pada pukul 6.20 petang manakala Muhammad Solehudin, lima minit kemudian.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat,” katanya.

Norazam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.03 petang dan tiba ke lokasi kejadian bersama 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, 16 minit kemudian.

— BERNAMA