Home Nasional Jangan hidupkan peralatan elektrik yang basah

Jangan hidupkan peralatan elektrik yang basah

Mangsa banjir, Sabri Awang dilihat mula mengemas rumahnya meskipun sebahagian rumahnya masih dipenuhi air di Kg. Lahar Yooi, Tasek Gelugor. foto SAFWAN MANSOR, 09 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tenaga menasihatkan mangsa banjir agar tidak menghidupkan peralatan elektrik sekiranya palam atau soket berada dalam keadaan basah bagi mengelak sebarang kemalangan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu sama sekali melarang mangsa banjir menggunakan peralatan elektrik yang telah terkena air banjir sebelum diperiksa oleh juruelektrik bertauliah.

“Jangan memetik suis dengan tangan yang basah, semasa berdiri dalam air atau dalam keadaan kaki tidak berkasut.

“Jangan memasuki bilik yang terdapat peralatan elektrik yang belum dicabut dari soket atau suis. Elakkan juga menghampiri bilik yang terdapat percikan api keluar dari mana-mana peralatan atau pendawaian,” jelas kenyataan itu.

Suruhanjaya itu juga melarang mangsa banjir daripada menghampiri kawasan seperti pencawang elektrik atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air selain mengelak daripada memijak atau memandu kenderaan melalui lopak air berhampiran talian elektrik yang putus.

Sehubungan itu, suruhanjaya tersebut menggariskan beberapa kaedah keselamatan elektrik semasa banjir surut antaranya menasihatkan mangsa banjir untuk merujuk dengan pihak utiliti bagi mengetahui status penyambungan bekalan elektrik.

Mereka juga perlu memastikan peralatan elektrik dikeringkan terlebih dahulu sebelum digunakan dan memastikan pendawaian rumah diperiksa oleh kontraktor sebelum disahkan selamat digunakan oleh pendawai elektrik yang berdaftar dengan suruhanjaya. – MalaysiaGazette