Home Dunia Rouhani janji cari punca bangunan kerajaan runtuh

Rouhani janji cari punca bangunan kerajaan runtuh

Gambar menunjukkan dua bangunan di Sarpol-e Zahab, yang salah satunya kekal teguh dan satu lagi musnah dalam kejadian gempa bumi pada Ahad lalu. foto Agensi

TEHRAN – Hassan Rouhani berjanji akan mencari ‘penjahat’ yang bertanggungjawab terhadap keruntuhan bangunan-bangunan dalam kejadian gempa bumi kuat dengan 7.3 magnitud pada hari Ahad lalu.

Presiden Iran membuat kenyataan itu berikutan bangunan-bangunan kerajaan mengalami keruntuhan dalam kejadian tersebut, sedangkan bangunan-bangunan persendirian tetap utuh.

Semasa bercakap ketika lawatannya di bandar yang paling teruk terjejas, Sarpol-e Zahab, Rouhani memberi contoh kepada kepada dua bangunan, satu daripadanya telah runtuh manakala yang sebuah lagi masih berdiri.

Lebih 400 orang terbunuh dan hampir 8,000 cedera dalam gempa itu.

Kerajaan sedang bergegas untuk memberi bantuan di daerah Kermanshah di barat negara itu, yang mana ratusan rumah telah musnah dan penduduk berada di luar rumah selama dua malam dalam keadaan dingin.

Presiden Rouhani berkata, kerajaan akan memberi pinjaman dan wang kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal.

Beliau turut berjanji akan mencari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan standard bangunan di negara berkenaan.

“Siapa yang patut dipersalahkan?. Ini adalah isu-isu yang perlu kita ikuti, kita harus mencari penyebab dan rakyat sedang menunggu untuk kita tunjuk pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Kami akan melakukannya, kami akan melakukannya.

“Perhatikan, sesetengah rumah-rumah ini sangat baru, sebahagiannya telah dibina oleh kerajaan dan mereka tidak terlalu lama.

“Bagaimanapun, anda dapat melihat sesetengah bangunan runtuh. Bagaimana ia boleh berlaku?,” soal beliau.

Tetapi Mejer Jeneral Mohammad Ali Jafari, Ketua Elit Islam Pengawal Revolusi Islam (IRGC), memberitahu TV negara: “Bangunan yang baru dibina … kekal baik, tetapi rumah-rumah lama yang dibina dengan tanah musnah sepenuhnya.”

Mansoureh Bagheri, pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah memberitahu, kira-kira 12,000 bangunan kediaman telah runtuh sepenuhnya. – MalaysiaGazette