Home Nasional 1,000 pelajar dapat sumbangan persekolahan PLUS

1,000 pelajar dapat sumbangan persekolahan PLUS

Sebahagian daripada penerima bantuan persekolahan Back to Schooll daripada PLUS bergambar bersama Johari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,000 orang pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kurang berkemampuan menerima sumbangan keperluan persekolahan daripada PLUS Malaysia Berhad.

Sumbangan itu berupa baucar bagi dua pasang baju sekolah dan stokin, sepasang kasut dan alat tulis serta beg sekolah.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula menyumbang sebanyak RM50 kepada setiap orang.

Program Back to School itu merupakan acara tahunan Parlimen Titiwangsa dan pada tahun ini terdapat empat program sedemikian.

“Sumbangan ini untuk membantu anak-anak Parlimen Titiwangsa untuk ke sekolah pada tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Back to School.

Bagi program hari ini, bantuan itu disumbangkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan nilai kos sebanyak RM250,000.

Sementara itu, PLUS berkata, ia mengagihkan bantuan pakaian seragam dan kelengkapan sekolah kepada 8,400 orang pelajar sekolah rendah dan menengah di lokasi terpilih seluruh negara untuk sesi persekolahan 2018.

Ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat induknya, UEM Group Berhad.

Bagi musim persekolahan 2018, sebanyak 14,200 pelajar-pelajar terpilih di seluruh negara akan menerima barangan kelengkapan persekolahan daripada anak-anak syarikat UEM iaitu UEM Sunrise Berhad, Cement Industries of Malaysia Berhad dan UEM Edgenta Berhad.

Majlis penyerahan sumbangan itu turut disertai oleh Pengarah Urusan UEM, Datuk Izzaddin Idris dan Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Program itu telah dilaksanakan sejak tahun 2013 dan sehingga tahun lalu, ia telah dimanfaatkan kepada lebih 40,000 pelajar terpilih di seluruh negara. – MalaysiaGazette