Chris Coleman. Foto Sky Sports.

LONDON – Bekas pengurus Wales, Chris Coleman tidak perlu menunggu lama untuk menganggur kerana telah diumumkan sebagai pengurus baharu Sunderland.

Coleman menjadi pengurus kesembilan dalam tempoh enam tahun di Stadium of Light.

Dia bakal berdepan tugas pertama apabila bertemu Aston Villa, esok.

“Saya perlu menjadi diri sendiri dalam usaha mengubah masa depan kelab ini. Kami cuma mampu bergantung kepada waktu dan yang pasti perlu bermain bersungguh di hadapan penyokong,” kata pengurus berusia 47 tahun.

Coleman percaya Sunderland memiliki potensi untuk berjaya dan mencabar kelab lain dalam liga.

“Sudah pasti pemain dan penyokong akan menjadi tulang belakang untuk kembali di landasan yang tepat. Banyak kerja yang perlu dilakukan,” tambahnya.

Coleman menjadi watak penting bagi Wales ketika Euro 2016 dengan membawa pasukan itu mara ke separuh akhir. – MalaysiaGazette