Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran memotong kek sambil diiringi Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon (tengah) pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-70 SJK(C) Bertam Valley di Cameron Highland, Pahang. foto IQBAL BASRI, 18 NOVEMBER 2017

TANAH RATA – Penduduk Cameron Highlands, terutamanya masyarakat Cina diseru untuk mengundi Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh sekiranya terpilih menjadi calon kawasan parlimen itu pada Pilihan raya Umum ke-14 bagi memastikan kehidupan yang lebih terjamin dan sejahtera.

Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Sivarraajh yang merupakan rakan seangkatan beliau dalam Pemuda merupakan antara calon muda paling serasi untuk menerajui Cameron Highlands sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Menurutnya, golongan muda juga perlu diberi peluang dan kepercayaan oleh masyarakat setempat bagi menjadi wakil rakyat yang ternyata lebih ideal untuk pembangunan negara.

“Calon muda adalah aspirasi negara. Adalah besar dan hebat  peranan pemimpin muda di dalam sesebuah negara membangun dan merdeka. Dengan memberi undi kepada Sivarraajh sekiranya terpilih sebagai calon memberi sinar kepada ramai di luar sana.

“Kami juga menyokong penuh Sivarraajh yang saya sudah kenali sekian lama terutamanya kami bersama-sama berjuang mendampingi golongan muda. Undilah beliau untuk kebaikan warga Cameron Highlands,” katanya.

Sin Woon berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,500 masyarakat Cina pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-70 Sekolah Jenis Kebangsaan Lembah Bertam Sabtu lepas.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-70 SJK(C) Bertam Valley di Cameron Highland, Pahang. foto IQBAL BASRI, 18 NOVEMBER 2017

Sin Woon yakin, Sivarraajh yang juga merupakan Penyelaras Parlimen Cameron Highlands akan membantu setiap kaum di kawasan itu dan tidak hanya fokus kepada masyarakat India semata-mata.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebenarnya majmuk dan merangkumi semua kaum, tiada siapa pun akan diabaikan begitu sahaja.

“Dengan mengundi Sivarraajh, tidak perlu sesiapa dalam dewan gentar atau risau beliau hanya akan fokus kepada kaum tertentu sahaja. Jangan lihat beliau sebagai calon MIC yang akan hanya jaga kepentingan kaum India sahaja.

“Sebelum ini, dalam MIC beliau bukan sahaja fokus kepada belia India sahaja, sebaliknya semua pemuda menjadi kepentingan beliau. Warga Cameron Highlands perlu beri peluang kepada beliau setulus hati,” ujarnya disusuli tepukan gemuruh.

Sebahagian penduduk tempatan yang hadir pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-70 SJK(C) Bertam Valley di Cameron Highland, Pahang. foto IQBAL BASRI, 18 NOVEMBER 2017

Dalam pada itu, Sin Woon turut menarik perhatian hadiran pada malam itu dengan becerita tentang nikmat yang sedang dikecapi rakyat Malaysia terutamanya Cameron Highlands adalah kerana jasa serta perjuangan kerajaan BN.

“Pembangkang hanya boleh bercakap. Mereka akan terus bercakap dan mencari kesalahan sehingga bila-bila. MCA telah banyak berjuang demi masyarakat Cina di negara ini. Mungkin kita boleh menidakkan perkara itu namun hakikat sebenarnya, sejarah tidak akan sesekali menipu.

“Terbukti pelbagai pembangunan terancang serta projek yang membawa kepada kesenangan masyarakat Cameron Highlands hanya dilakukan oleh BN dan bukan sebaliknya. Agenda rakyat, kepentingan rakyat adalah keutamaan kami,” tegasnya.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini disandang bekas presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU13.

Kerusi Cameron Highlands merupakan kerusi tetap yang telah ditandingi oleh sejak PRU11. – MalaysiaGazette