Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bergambar kenangan bersama Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Syed Anwar Jamalullail (kiri) dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports, Mohammad Nazli Abdul Aziz (kanan) pada Majlis Perasmian Anjung Malaysia dan Pelancaran Coklat Edisi Terhad Airpots Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 21 NOVEMBER 2017

SEPANG – Pelancaran Anjung Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diyakini akan membantu kerajaan dalam mencapai sasarannya untuk menarik 60 juta penumpang pada tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini kerana ruang yang terletak di paras lima itu bakal menjadi tarikan baharu KLIA bagi menggambarkan pelbagai budaya Malaysia kepada penumpang tempatan dan antarabangsa.

“KLIA adalah salah satu daripada mercu tanda yang ikonik di negara ini. Bagi rakyat Malaysia, suasana di KLIA sentiasa membangkitkan perasaan dekat di hati dan keselesaan apabila datang ke sini.

“Sementara bagi pelancong luar negara, lapangan terbang ini juga mengalu-alukan keramahan, keterujaan dan kegembiraan buat mereka.

“Justeru, saya percaya inisiatif Malaysia Airports dalam mewujudkan Anjung Malaysia akan menawarkan pengalaman baharu yang tidak dapat dilupakan buat pengguna di KLIA, sekali gus mewujudkan kebanggaan buat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Anjung Malaysia di KLIA di sini hari ini.

Penari bergambar di laluan Anjung Malaysia pada Majlis Perasmian Anjung Malaysia dan Pelancaran Coklat Edisi Terhad Airpots Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 21 NOVEMBER 2017

Anjung Malaysia dahulunya dikenali sebagai Anjung Tinjau kini dibangunkan sebagai ruang pameran yang bertemakan Nostalgia.

Ia adalah kawasan yang mencerminkan budaya negara pelbagai kaum menerusi keindahan seni, produk dan masakan tempatan.

Terdapat 10 gerai ketika ini menjual produk seperti coklat buatan Malaysia, kerepek, biskut dan baju batik.

Lebih menarik, terdapat juga demonstrasi batik dan pelbagai permainan tradisional termasuk batu seremban dan congkak.

Penumpang yang ke sana bakal terpegun dengan gambar yang menonjolkan negara bermula tahun 1950-an dan 1960-an di sepanjang laluan.

Sementara itu, Tiong Lai menambah, KLIA kini mengendalikan lebih daripada 60 syarikat penerbangan melibatkan 120 destinasi secara terus.

“Ketika ini, KLIA mengendalikan 53 juta penumpang setahun, 70 peratus daripadanya penumpang antarabangsa.

“Ini membuktikan Malaysia adalah destinasi popular di kalangan pelancong antarabangsa,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meluangkan dan menunjukkan kebolehannya bermain batu seremban di gerai pameran pada Majlis Perasmian Anjung Malaysia dan Pelancaran Coklat Edisi Terhad Airpots Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 21 NOVEMBER 2017

Dalam pada itu, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Perdagangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohammad Nazli Abdul Aziz memberitahu, Anjung Malaysia akan membangkitkan rasa nostalgia dengan membawa konsep tradisi dan budaya tempatan ke lapangan terbang.

“Sekiranya model ini berjaya, kami akan memperluaskan konsep ini kepada empat lapangan terbang tempatan lain iaitu klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Lapangan terbang ini akan membawa tema seperti fesyen dan tempat tempatan.

“Saya harap ini boleh dilakukan dalam masa dua tahun sebagai sebahagian daripada inisiatif MAHB untuk meningkatkan imej lapangan terbang di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette