Warga ibukota melakukan persiapan terakhir persekolahan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

KUALA LUMPUR – Para pengguna diminta melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika terdapat mana-mana pasar raya dan pusat beli-belah yang manipulasi harga bagi barang-barang keperluan sekolah.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pihaknya sedang memantau rapi jualan barang-barang keperluan sekolah yang sudah mula dibuat oleh pasar-pasar raya dan pusat beli-belah.

Ini kerana, hasil tinjauan yang dibuat CASSA mendapati, ibu bapa sudah mula berbelanja sejak awal bulan ini kerana bimbang berlaku kenaikan harga keperluan sekolah menjelang bulan Disember.

“Kami buat tinjauan, kami wawancara pengguna. Semuanya menyatakan kebimbangan yang sama. Tidak salah ibu bapa buat persediaan awal.

“Tetapi kalau persediaan ibu bapa itu disebabkan kebimbangan berlaku kenaikan barang keperluan sekolah pada bulan Disember, ini sesuatu yang perlu dilihat dan dipantau dengan serius.

“Jadi, saya minta semua pengguna yang mendapati ada kenaikan harga barangan keperluan sekolah pada bulan Disember berbanding bulan-bulan sebelum ini, sila laporkan kepada KPDNKK atau CASSA dengan segera,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas beliau, jika semua pengguna di Malaysia memberikan kerjasama kepada KPDNKK atau persatuan-persatuan pengguna, amalan menaikkan harga barang-barang secara sewenang-wenangnya oleh peniaga dapat dihapuskan.

George berkata, pasar-pasar raya atau pusat beli-belah yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Anti Percatutan.

Malah, katanya, Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah beberapa kali memberi jaminan akan mengenakan tindakan tegas termasuk menghentikan operasi jika ada peniaga-peniaga melakukan tindakan sedemikian.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan peniaga-peniaga yang menipu pengguna. Jadi gunakan segala medium untuk melaporkan penipuan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast