Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) kesal dengan sikap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang sehingga kini masih tidak meluluskan permohonan penubuhan parti itu.

Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, beliau tidak faham kenapa RoS tidak mahu menyegerakan parti yang diwujudkan untuk menyokong Barisan Nasional (BN) itu.

Malah, beliau menganggap janji yang diberikan oleh salah seorang pegawai di jabatan berkenaan bahawa keputusan mengenai kelulusan parti itu akan diperoleh pada awal November lalu disifatkan sebagai ‘temberang’.

“Daripada mereka melayan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan, lebih baik mereka tumpu kepada kami yang boleh memberi pulangan kepada kerajaan.

“Ramai ahli kami tidak sabar menunggu keputusan daripada RoS ini kerana banyak agenda yang hendak dilakukan tergendala semata-mata kerana perkara tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohd. Ridzuan berkata, RoS sepatutnya peka dengan keadaan semasa di mana BN memerlukan sokongan terutama menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Katanya, semua ahli Pekira merupakan penyokong tegar BN dan keahlian yang ramai pasti akan membantu parti itu mencapai kemenangan besar dalam PRU nanti.

“kita beri tempoh sehingga hujung bulan ini, jika tidak keputusan muktamad yang akan dilakukan adalah berhimpun secara beramai-ramai di pejabat RoS sebagai tanda protes,” ujarnya. – MalaysiaGazette