KUALA LUMPUR – Mana-mana ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir tanpa sebab ke sidang Dewan Rakyat hingga menjejaskan proses pengundian Rang Undang-Undang kerajaan bakal berdepan tindakan dalaman parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah pun menemui ahli-ahli Parlimen BN sambil menegaskan mereka perlu mengambil serius perkara itu agar tidak berulang lagi.

“Saya sudah menasihatkan mereka supaya berada di Parlimen. Ada tindakan dalaman yang kita telah ambil, sudah tentu kepada ahli Parlimen yang gagal hadir.

“Saya juga sudah nasihatkan mereka kena lebih serius dalam kehadiran sesi itu (pengundian),” katanya kepada pemberita selepas Misi Bantuan Kemanusiaan Rohingya di pekarangan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas sesi pengundian belah bahagi Rang Undang-undang Perbekalan (Bajet 2018) peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Isnin lalu.

Pada sesi itu, undi pihak kerajaan hampir tewas apabila jumlah kehadiran ahli Parlimen pembangkang lebih ramai berbanding ahli Parlimen BN pada sesi penggundian itu.

Ketika pengundian, Timbalan Speaker Ronald Kiandee mengumumkan rang undang-undang itu diluluskan dengan undian 52 ahli Parlimen menyokong, 51 menentang manakala dua lagi berkecuali.

Bagaimanapun kata Ahmad Zahid Hamidi, beliau berpuas hati apabila rang-undang-undang itu berjaya diluluskan meskipun berlaku undi belah bahagi.

“Tapi yang penting menang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette