Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (tiga kanan) bersama sebahagian atlet Malaysia yang memenangi pingat emas pada Sukan Sea KL 2017 yang lalu mencuba alat kecergasan yang dijadikan simulasi tenaga elektrik ketika melawat Expo Negaraku di Dataran Merdeka. foto SAFWAN MANSOR, 22 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR –  Kunjungan atlet emas Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ke Expo Negaraku 2017 diharap dapat membuka minda mereka dengan lebih luas daripada skop dunia sukan semata-mata.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, ini kerana ekspo infrastruktur mega pertama di Malaysia itu merupakan realiti kejayaan Malaysia sepanjang kemerdekaannya yang masuk tahun ke-60 tahun ini.

Beliau berkata, ekspo tersebut merupakan satu manifestasi kejayaan negara dan golongan atlet dapat menimba ilmu dan pengetahuan kerana kejayaan dalam bidang sukan berkait rapat dengan bidang lain.

“Setiap atlet yang berkampung di Kampung Pandan akan diatur lawatan ke ekspo ini mengikut kumpulan agar dapat berfikir di luar kepompong mereka untuk mengetahui bagaimana pembangunan dan perjalanan kejayaan negara sebelum dan masa kini.

“Jadi lawatan ini diharap dapat membuka minda luar daripada bidang mereka sendiri serta sedar, untuk memajukan sukan di negara ini, ia memerlukan kerjasama pelbagai bidang lain.

“Apatah lagi dengan infrastruktur hebat di Bandar Sukan Kuala Lumpur sendiri telah melambangkan kejayaan pembangunan sukan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan ke Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Seramai 40 atlet KL2017 melibatkan atlet Sukan Sea dan Sukan Para Asean hadir dalam lawatan tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi memberitahu, antara momen manis buat atlet KL2017 itu apabila negara menjadi juara keseluruhan Sukan SEA ke-29 dan memenangi pingat emas pertama di Sukan Paralimpik.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. foto SAFWAN MANSOR, 22 NOVEMBER 2017

Sementara itu, Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka bermula 16 November lalu selama sebulan dengan menampilkan perbezaan dengan ciri-ciri interaktif ala Universal Studio di Singapura.

Pameran yang boleh diikuti dalam masa sejam dibuat dalam bentuk tiga dimensi dengan pe­ngunjung dapat merasai pelbagai pengalaman menakjubkan tentang kemudahan prasarana yang ada dan sedang dibangunkan di negara ini.

Pameran bertaraf antarabangsa itu mampu menarik lebih daripada 500,000 pengunjung dalam tempoh satu bulan.

Idea pameran ini datang daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melihat sebuah pameran dalam format digital agar sesuai dengan kea­daan masa kini.

Terdapat lima kubah khas dibina dalam pameran ini dan pengunjung boleh mendapatkan pelbagai maklumat mengenai negara hanya menerusi sentuhan, mendengar dan mencuba pelba­gai simulasi yang disediakan.

Antara tarikan ekspo itu apabila pengunjung berpeluang berinteraksi dengan Perdana Menteri melalui panggilan telefon yang akan dibuat secara rawak.

Salah satu slot menarik ialah telekomunikasi yang mana tele­fon antik di dalam sebuah kubah akan berdering dan pengunjung bertuah yang menjawab panggilan tersebut berpeluang berinte­raksi dengan Perdana Menteri dan kepemimpinan tinggi negara.

Ekspo yang dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri dibuka secara percuma setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam sehingga 15 Disember depan.

Sehubungan itu, Jalan Raja Laut yang memghubungkan Dataran Merdeka ditutup sehingga selesai Expo Negaraku 2017 dan akan dibuka kembali pada 16 Disember 2017.

Ia adalah bagi memastikan keselamatan pengunjung dan mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan Dataran Merdeka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast