Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes denggi bagi tempoh 12 hingga 18 November lalu dilaporkan menurun kepada 93 dan merupakan jumlah kes mingguan yang terendah direkodkan sejak 2014.

Jumlah kumulatif kes denggi yang direkodkan sehingga 18 November 2017 ialah sebanyak 78,062 kes berbanding 93,080 kes bagi tempoh yang sama tahun 2016, iaitu penurunan sebanyak 15,018 kes (16.1 peratus).

Bagi tempoh yang sama, jumlah keseluruhan kematian demam denggi di Malaysia juga telah menurun sebanyak 51 kematian (23.8 peratus) yang mana 163 kematian telah dilaporkan pada tahun ini berbanding 214 kematian dicatatkan pada tahun 2016.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa jangkitan demam denggi dijangka cepat merebak menjelang musim cuti persekolahan berikutan pergerakan orang ramai secara meluas.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya melindungi diri daripada gigitan nyamuk terutamanya apabila melawat kawasan wabak sama ada dengan menggunakan bahan penghalau nyamuk kepada bahagian badan yang terdedah untuk gigitan nyamuk atau mengenakan pakaian yang menutup anggota badan.

Informasi mengenai senarai kawasan wabak dan hotspot denggi juga boleh didapati daripada aplikasi iDengue di dalam telefon bimbit. Aplikasi iDengue ini boleh dimuat turun untuk android dan iPhone. – MalaysiaGazette