Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Adnan Mansor berucap pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada pihak pembangkang supaya berhenti mengelirukan rakyat berkenaan dirinya terutama tentang gaya hidupnya masa ini.

Dalam syarahannya di hadapan kira-kira 200 pelajar di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, beliau mengakui pernah menjadi seorang yang suka berfoya-foya ketika menjadi salah seorang individu terkaya dalam negara pada tahun 1980an.

“Ketika tahun 1980an buka buku Malaysian Investor atau Malaysian Digest lihat siapa Tengku Adnan..Salah satu orang kaya dalam negara. Sebab itu pembangkang cakap bukan-bukan saya marah mereka tak tahu siapa saya, jangan cakap, jangan kelirukan rakyat tentang saya. Apa yang berlaku pada saya hari ini saya bersyukur kepada Allah SWT

“Dahulu, saya hidup berfoya-foya sana sini, kapal terbang sendiri, kapal layar ada. Semua ada. Nak makan di mana? Hong Kong? Singapura? Berfoya-foya, tapi Allah sayang saya,” katanya.

Walau bagaimanapun, Tengku Adnan bersyukur kerana diberi hidayah dan bekerja dengan UMNO sebagai Setiausaha Agung.

“Pada akhir 1998, saya teringat dipanggil jadi Setiausaha Kerja UMNO. Saya beritahu presiden, saya akan berkhidmat selama enam bulan kemudian mahu kembali ke dunia korporat, tetapi dari November 1998 sampai ke hari ini saya jadi begini,” KATANYA

Dalam masa sama, Tengku Adnan turut mengingatkan anak-anak Melayu supaya tidak melupakan jasa-jasa UMNO sepanjang menerajui negara ini.

“Saya pun pernah jadi pelajar, (tetapi) kerana dasar UMNO yang kamu dapat masuk universiti.

“Kalau tak dapat masuk universiti di Malaysia, kita hantar ke luar negara, balik negara tunjuk pandai marah kepada UMNO.

“Saya cakap begini kerana saya lihat keadaan negara sejak kebelakangan ini, apatah lagi kita undi pembangkang yang tidak ‘tomakninah’. Pembangkang sengaja hendak memecah-belahkan negara dan pembangkang sengaja hendak lihat negara hancur,” katanya ketika berucap di Anugerah Nadi Negara 2017 yang dianjurkan Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast