KUALA LUMPUR – Pas menyatakan sokongan penuh parti itu kepada pihak yang menjalankan kempen selamatkan hutan Merapoh di Pahang.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kempen itu perlu bagi memberi kesedaran kepada kerajaan negeri mengenai pentingnya menjaga khazanah hutan daripada dirosakkan.
Menurut beliau, kerajaan Pahang perlu mempertahan dan mengutamakan khazanah yang ada dalam hutan simpan itu kerana ia boleh menyumbangkan pendapatan berpanjangan kepada industri pelancongan negeri.
Katanya, Pas mengesan banyak lesen pembalakan di kawasan tadahan air telah diberikan seperti di Kampung Baru, Sungai Terlang Jerantut dan Kampung Som.
“Kerajaan negeri wajar menghentikan pemberian lesen pembalakan dan kawasan tadahan air serta kawasan tanah tinggi tanpa sebarang kajian Penilaian Impak Persekitaran (EIA) atau mengambil kira khazanah yang ada.
“Membangunkan industri pelancongan dapat menambahkan pendapatan penduduk di sekitarnya, manakala aktiviti pembalakan hanya menguntungkan segelintir yang kaya dan berkuasa,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Selasa lalu, sebuah akhbar melaporkan hutan Merapoh yang menyimpan pelbagai khazanah ekologikal Malaysia berusia ratusan juta tahun kini diambang kepupusan dalam sekelip mata.
Ini kerana aktiviti pembalakan di Merapoh yang berlaku sekian lama mula tidak terkawal menyebabkan seluas 1,052.18 hektar dalam kawasan tadahan hujan hampir gondol.
Menurut Tuan Ibrahim, air Sungai Merapoh yang menjadi sumber minuman dan keperluan kepada penduduk di KampungMentara, Berhamah, Kubang Rusa, Teluk Gunung, Persit, Ulu Kumbang dan Merapoh kini juga turut tercemar dan keruh.
Sebelum ini, katanya, Pengasas Pertubuhan Save Merapoh Cave, Mohd Laili Basir mendedahkan, kira-kira 10,000 penduduk dari lapan kampung sekitar Merapoh terjejas akibat pencemaran sungai berkenaan dan mungkin lebih buruk pada masa depan sekiranya kawasan tadahan hujan tidak diselamatkan.
“Lebih menyedihkan, kawasan yang dipilih untuk pembalakan ini juga menghuni gua berusia ratusan juta tahun yang mempunyai keindahan dan keunikan bertaraf dunia yang pernah dimasukkan dalam senarai Geopark Kebangsaan.
“Antara gua batu kapur yang istimewa di sini ialah Gua Hari Malaysia. Namun jalan pelancong menuju ke gua ini kini musnah akibat pembalakan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















