69 peratus jangkitan baharu HIV adalah remaja dan belia

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Selangor telah merekodkan sebanyak 842 kes baharu jangkitan HIV sepanjang tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Menurut Timbalan Pengarahnya, Dr. Ling He Mey, jumlah itu melibatkan kadar notifikasi kes 13.9 per 100,000 penduduk.

Kata beliau, daripada jumlah yang mendapat jangkitan HIV itu, 69 peratus adalah golongan remaja dan belia berumur antara 20 hingga 39 tahun.

“Ini disebabkan risiko homoseksual yang meningkat dari sembilan peratus pada 2005 kepada 51 peratus sehingga Oktober lalu,” katanya sebagaimana dilaporkan portal rasmi kerajaan negeri, Selangorkini.

Menurut He Mey, risiko jangkitan yang disebabkan heteroseksual juga meningkat dari 17 peratus pada 2005 kepada 32 peratus sehingga kini.

Kata beliau, berikutan peningkatan kes itu, Jabatan Kesihatan Selangor mengadakan aktiviti pencegahan dan pendidikan yang memfokuskan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti remaja, transgender, penagih dadah dan kumpulan sasar lain.

“Aktiviti pendidikan berkaitan penyakit ini turut dilaksanakan kepada pelajar dan institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih,” katanya. – MalaysiaGazette