Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – “Proses undian belah bahagian di Dewan Rakyat pada 20 November lalu mempunyai niat sebaliknya,” demikian menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ujarnya, tindakan menyeru agar diadakan undi belah bahagi dilihat cubaan pembangkang untuk menolak Rang Undang-undang Perkenalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setelah ia diterima di peringkat dasar.

Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak penghujung bulan lalu dengan peruntukan sebanyak RM280.25 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

“Belah bahagian mesti ada niat baik. Apa yang berlaku pada hari itu adalah ketika Ahli Parlimen sembahyang. Apabila kawan di sini (pembangkang) nampak Dewan sudah lengang, mereka datang berpusu-pusu minta belah bahagian .

“Apabila saya timbang semua ini, belah bahagian ini berniat tidak baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ketetapan itu dibuat Pandikar selepas terdapat perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang mengenai usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43 yang dibawa Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo.

Menjawab mengenai perkara itu, Pandikar berkata, apa yang berlaku ketika undian Bajet 2018 bagi peringkat Jawatankuasa KPDNKK pada hari tersebut dibuat ketika sebahagian Ahli Parlimen bersembahyang.

Gobind sebelum ini mempertikai proses undian tersebut malah mendakwa jumlah Ahli Parlimen pembangkang yang menolak bajet peringkat jawatankuasa KPDNKK adalah 52 orang bukan 51 seperti diumum sebelum ini.

Pada sesi undian itu, seramai 52 Ahli Parlimen BN menyokong bajet tersebut manakala 51 Ahli Parlimen pembangkang termasuk 6 daripada Pas tidak menyokong Bajet tersebut.

Pembangkang gagal menolak bajet berkenaan apabila dua Ahli Parlimen Pas, bertindak berkecuali dengan tidak mengundi.

Menurut Pandikar, kegagalan pembangkang menyatakan keberadaan Ahli Parlimen Stampin, Tan Kok Peng ketika undi berlangsung juga tidak boleh diterima.

“Ini bermakna yang mengira undi di blok E tidak masukkan nama Ahli Parlimen Setampin dan beliau sendiri sahkan senarai yang mengundi,” kata Pandikar Amin. -MalaysiaGazette