Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong (kanan) mencuba cermin mata 3D ketika meluangkan masa melawat salah satu gerai pameran selepas merasmikan MyDigital Leaders Convention 2017 bertemakan Digital Transformation : Public Sector Competencies di Malaysia Agro Eposition Park (MAEPS), Serdang. foto SAFWAN MANSOR, 29 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Teknologi dan data digital mesti digunakan secara strategik untuk mencapai pertumbuhan inklusif dan mampan untuk digunakan oleh orang ramai.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penggiat industri juga perlu meneliti bagaimana teknologi digital boleh digunakan dalam Pelan Strategik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dengan melaksanakan program tindakan dalam tahun-tahun terakhir menjelang 2020.

“Di samping itu, pemimpin kerajaan juga perlu membuat anjakan dengan menggabungkan amalan pengurusan bakat dengan kecekapan digital semasa dan masa hadapan untuk memastikan rasionalisasi yang lebih baik ke atas produktiviti dan prestasi,” katanya dalam ucapan perasmian pada Konvensyen Pemimpin MyDigital 2017 di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lee Chee Leong.

Beliau berkata semua ketua pegawai maklumat dan perwakilan yang hadir pada konvensyen itu mesti berkongsi pandangan serta maklumat yang diiperoleh ini untuk memacu Pelan Strategik ICT ke arah inovasi baharu dan distruktif dalam Penyampaian Kerajaan Digital.- BERNAMA