Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed (tiga kiri) dan Duta Besar Jepun, Makio Miyagawa (tengah) bergambar kenangan pada Forum Malaysia Nikkei Business 2017 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 30 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus menjadi lokasi pelaburan utama Jepun di rantau Asia dengan pelaburan bernilai lebih RM559 juta.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jumlah itu disalurkan oleh Jepun dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu adalah hasil daripada 16 buah projek pembuatan yang telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sekaligus menunjukkan keyakinan negara pimpinan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe terhadap perkembangan ekonomi negara ini.

“Pelaburan semula ini menggariskan kepercayaan dan keyakinan mereka yang berterusan di Malaysia sebagai tempat utama bagi syarikat Jepun untuk menjalankan perniagaan.

“Malaysia menghargai kesinambungan pelaburan semula itu dimana syarikat-syarikat Jepun di sini juga menyumbang kepada agenda untuk menjana pertumbuhan mampan dan inklusif, serta mengubah negara ke arah bersedia sepenuhnya untuk Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Perniagaan Malaysia Nikkei 2017 di ibu negara hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Kanan Nikkei, Hirotomo Nomura dan Duta Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.

Menemani Najib, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Eksklusif MIDA, Datuk Azman Mahmud.

Dalam pada itu, Najib berkata, pelaburan itu disokong dengan sebanyak 75 peratus daripada pelaburan tersebut untuk projek pengembangan dan kepelbagaian oleh syarikat Jepun yang telah beroperasi di negara ini.

“Pelaburan semula ini menggariskan kepercayaan dan keyakinan mereka yang berterusan di Malaysia sebagai tempat utama bagi syarikat untuk menjalankan perniagaan,” kata Najib.

Dalam pada itu, Najib turut berkongsi beberapa kejayaan syarikat Jepun di negara ini yang turut menyumbang agenda untukĀ  menjana pertumbuhan mampan dan inklusif.

“Dalam persediaan menuju Revolusi Perindustrian Keempat, Panasonic adalah antara firma Jepun paling awal untuk melabur di Malaysia.

“Selama lebih dari 40 tahun, kumpulan itu telah meluaskan jaringannya melalui 21 syarikat yang merangkumi aktiviti-aktiviti seperti pembuatan, jualan, logistik atau perdagangan, insurans kewangan, pengurusan dan kejuruteraan dan kelebihan perbandingan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.