Home Ekonomi Keuntungan sebelum zakat, cukai BIMB RM732j

Keuntungan sebelum zakat, cukai BIMB RM732j

KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Berhad (BHB) merekodkan keuntungan sebelum zakat sebanyak 10.1 peratus lebih tinggi kepada RM732.2 juta untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2017 berbanding RM665.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi kukuh ini diterjemah kepada pulangan atas ekuiti pra-cukai tahunan sebanyak 20.9 peratus dan pulangan atas ekuiti pasca-cukai sebanyak 15.2 peratus mengatasi kebanyakan rakan industri.

Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada para pemegang saham meningkat 12.1 peratus atau RM50.6 juta kepada RM470.2 juta dalam tempoh yang sama.

Aset bersih sesaham meningkat kepada RM2.81 pada akhir September 2017 berbanding RM2.44 pada akhir Disember 2016 dan pendapatan sesaham meningkat kepada 28.81 sen
berbanding 26.47 sen pada tempoh yang sama tahun 2016.

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2017, dividen interim satu peringkat sehingga RM229.3 juta atau 14.0 sen sesaham telah dicadangkan oleh para pengarah BHB.

Ia juga telah dicadangkan bahawa Pelan Pelaburan Semula Dividen boleh diguna pakai untuk keseluruhan dividen interim satu peringkat yang dicadangkan.

Kumpulan Bank Islam merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM591.3 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, menokok 9.2 peratus atau RM49.9 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2016.

Bank itu terus mengekalkan pertumbuhan pembiayaannya dengan aset pembiayaan bersih mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.0 peratus atau RM3.0 bilion untuk mencapai RM40.1 bilion pada akhir September 2017.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, Kumpulan Takaful Malaysia (Takaful Malaysia) merekodkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM197.6 juta, mewakili pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10 peratus.

Keuntungan lebih tinggi ini adalah disebabkan oleh pendapatan yuran wakalah lebih tinggi daripada pertumbuhan perniagaan yang kukuh dalam perniagaan Takaful Am.

Perolehan operasi meningkat sebanyak 6.5 peratus kepada RM1,621.4 juta daripada RM1,522.4 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada tahun 2016.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh jualan lebih tinggi yang dihasilkan oleh perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am. – MalaysiaGazette