Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menunjukkan isyarat bagus ketika duduk diatas motor sambil diiringi Pengerusi Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad, Datuk Jurey Rosli (dua kiri) pada Majlis Perasmian Program Gegar Anak Seni dan Bikers 2017 di MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Golongan penunggang motosikal boleh memainkan peranan penting sebagai simbolik perpaduan di negara ini dalam usaha memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, golongan penunggang motosikal tidak kira berkuasa rendah atau tinggi itu tidak boleh diperkecilkan kerana ia merupakan satu gerakan baharu yang semakin terbukti penyatuannya.

Beliau yang penunggang motosikal berkuasa tinggi tegar menjelaskan, penggemar jentera dua roda itu tidak mengganggu mana-mana pihak sebaliknya penyatuan gemar berkumpul yang diterjemahkan merupakan satu usaha kebaikan kepada keharmonian negara.

“Selalu ingat rakan-rakan di luar, jangan kecilkan bikers. Kita adalah satu pasukan baharu atau  gerakan baharu yang terbukti hari ini penyatuan bukan hanya pada semangat tapi dengan apa kita perlihatkan.

“Kita tidak gugat sesiapa malah kita bantu penyatuan ini untuk diterjemahkan kepada kebaikan negara

“Kita mahu negara stabil dan tidak berpecah lagi. Kita mahu penyatuan ini dipraktikkan dan biar bikers memulakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gegar Anak Seni dan Bikers 2017 di Maeps Serdang di sini hari ini.

Program yang menyasarkan penyertaan 5,000 penunggang motosikal mencipta sejarah apabila kehadiran golongan itu mencecah 10,000 orang.

Ratusan motor yang dipamerkan pada Majlis Perasmian Program Gegar Anak Seni dan Bikers 2017 di MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 DISEMBER 2017

Sementara itu, Ahmad Zahid menambah, golongan penunggang motosikal sentiasa mengenepikan warna-warna perbezaan apabila menunggang motosikal.

Ini kerana jelasnya, semua penunggang motosikal adalah setaraf tanpa mengira apa jua jawatan.

“Bila kita berada di atas motosikal, kita semua setaraf. Tidak ada peniaga gerai, peniaga kecil, pengarah filem, tidak ada menteri mahu pun tidak ada Timbalan Perdana Menteri.

“Budaya bikers yang memiliki kesamarataan status sosial ini berada di mana-mana seluruh dunia. Presiden sebuah negara Eropah timur dan raja sebuah negara juga ada bikers.

“Saya mungkin ada jawatan saya namun lebih penting saya mewakili bikers seluruh negara. Apabila ada pemikiran budaya perbezaan, penunggang motosikal kecil atau berkuasa tinggi tidak ada kelebihan.

“Masing-masing bukan kerana kemampuan kewangan atau status sosial berbeza tetapi kerana ada sifat dan perasaan sama sebagai bikers. Sekali menjadi penunggang motosikal, selamanya jadi bikers,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini mengumumkan sebuah gabungan kelab motosikal baharu yang akan dikenali sebagai Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPPM) .

Penubuhan persatuan itu bertujuan mengumpulkan semua penggemar jentera dua roda tanpa mengira jenis kuasa motosikal untuk duduk dibawah satu naungan. – MalaysiaGazette