Victor Iannello berkata gambar yang diambil oleh Tentera Udara Diraja New Zealand kelihan seperti serpihan, termasuk sebuah beg yang mungkin dari pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu.

SYDNEY – Seorang pakar penerbangan menggesa siasatan baharu dilakukan terhadap imej yang menunjukkan serpihan terapung-apung di Lautan Hindi sebaik sahaja pesawat MH370 hilang.

Ketua Kumpulan Bebas MH370, Victor Iannello berkata, gambar tersebut menunjukkan serpihan, termasuk sebuah beg dan pakej kargo yang mungkin kepunyaaan pesawat milik Malaysian Airlines itu, lapor Daily Mail.

Iannello memberitahu akhbar, The Australian, bahawa gambar yang diambil oleh Tentera Udara DiRaja New Zealand terlepas pandang tetapi ia perlu diberi perhatian berikutan syarikat dari Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity akan memulakan pencarian pesawat terbabit pada tahun depan.

Pesawat Boeing, B777 dengan 239 penunpang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac 2014.

Ocean Infinity telah mengemukakan cadangan untuk melakukan pencarian di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi sebagai sebahagian daripada perjanjian ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ dengan kerajaan Malaysia.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi memberitahu BBC bahawa Ocean Infinity mungkin dibayar sehingga A$91 juta jika bangkai pesawat MH370 ditemui dalam masa 90 hari.

Bagaimanapun, Iannello berkata, kawasan pencarian yang telah ditetapkan itu perlu diubah ke utara di kawasan Tentera Udara DiRaja New Zealand mengambil gambar 21 hari selepas pesawat MH370 hilang.

“Banyak yang percaya… berkemungkinan serpihan itu terlepas semasa pencarian di permukaan (laut),” katanya kepada The Australian.

“Apa yang kami tahu, tiada objek dikenalpasti dalam pencarian pada permukaan (laut) pada 29 Mac 2014 ditemui kapal, oleh itu hubungan dengan MH370 kekal tidak diketahui.

“Hanya 21 hari berlalu antara impak MH370 dan penemuan serpihan itu, ia seharusnya boleh dikesan balik objek pada 8 Mac untuk menentukan lokasi potensi impak (kemalangan),” katanya. – Agensi