Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu Barisan Nasional (BN) memperoleh kedudukan selesa dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Menurut Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, kemahuan ke arah kemenangan dua pertiga itu boleh diterjemah kepada sokongan kuat orang Melayu terhadap UMNO selaku tunjang parti BN.

“Presiden mahu sebuah kerajaan yang kuat kerana beliau merasakan banyak lagi yang harus kita lakukan untuk negara, jadi persiapan untuk pilihan raya itu mesti dibuat dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat sokongan rakyat yang paling kuat.

“Walaupun dia tidak sebut dua pertiga, saya faham begitu,” katanya selepas Majlis Taklimat Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Dalam amanat itu, Najib berkata UMNO harus menjadi platform kepada sokongan kuat kaum Melayu kepada parti itu bagi menghadapi PRU-14.

“Beliau mahukan sokongan yang kuat dan kerja bersama dalam meningkatkan sokongan yang padu kepada parti. Ia satu peringatan yang baik dalam semangat yang betul pada ketika ini,” katanya lagi.

Justeru itu tambah Annuar, Najib juga turut menyeru agar semua kemelut yang didepani parti itu sejak dua tahun lalu diselesaikan segera.

“Kalau ada masalah tidak semestinya dibubar secara paksa. Kalau ada masalah dalaman, kita mesti selesaikan. Selalu letakkan kepentingan parti dihadapan dan fokus dengan kerja-kerja pilihan raya.

“Presiden memang ada sebut sehingga Januari segala persiapan telah siap dan digerakkan. Mesej yang disampaikan itu ialah jangan berlengah dan fokus dan bersedia untuk hadapi PRU14,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.