Home Nasional Wanita Indonesia mengaku dera anak

Wanita Indonesia mengaku dera anak

Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

BUTTERWORTH –  Seorang wanita warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak lelakinya yang berusia setahun, bulan lepas.

Tertuduh yang hanya dikenali sebagai Nisa, 26, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Tertuduh didakwa mengabaikan anak lelakinya itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di rumah mereka di Paya Lahar Kepah, Kepala Batas dekat sini pada pukul 4.30 petang, 22 Nov lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Roslina Idris tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan mahkamah kemudiannya menetapkan 5 Jan untuk menjatuhkan hukuman serta mendapatkan laporan bedah siasat anak lelakinya itu.

Pada 23 Nov lepas, polis menahan wanita warga Indonesia itu yang disyaki mendera anak lelakinya itu, sehingga mengalami kecederaan parah di kepala dan lebam di badan.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang 22 Nov lepas, wanita berkenaan dan suaminya yang merupakan warga tempatan, membawa anak mereka ke Hospital Kepala Batas, dekat sini selepas tidak sedarkan diri sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana kritikal.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi, 27 Nov lepas selepas keadaannya semakin kritikal dipercayai akibat pendarahan otak kerana dipukul dengan benda tumpul di kepala. – MalaysiaGazette