Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yb Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2017 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak hanyut dengan ‘nostalgia dongeng’ bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin paling agung.

Jelas Khairy, rakyat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa zaman pemerintahan Mahathir dengan zaman pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini merupakan dua zaman yang berbeza.

“Malaysia pada ketika itu adalah antara sebahagian kecil negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka – pelaburan luar melimpah masuk, merangsang pembangunan ekonomi yang pantas.

“Hari ini, negara seperti India, China dan Vietnam yang dahulunya mengamalkan dasar tertutup, kini terbuka luas pintunya, memberikan lebih pilihan kepada para pelabur, menjadikan persaingan begitu sengit buat Malaysia.

“Kita bukan ingin memberi alasan tetapi realiti perlu diperjelaskan. Sewajarnya, tatkala keadaan lebih mudah ketika itu, janalah pulangan jangka panjang yang lebih menyeluruh dari setiap ringgit pelaburan yang diterima.

“Jangan hanya fikir output dan bangunan siap cepat-cepat sahaja. Ini tidak. Sebagai contoh, semasa bina KLCC, Hazama Corporation dari Jepun bina Menara 1, Samsung Engineering dari Korea bina Menara 2. Senibina arkitek dari Argentina.

“Buruh asing diimport dari Bangladesh dan Indonesia. Tak nampak usaha perkasa modal insan tempatan yang tersusun dan berkesan daripada pelaburan yang diterima,” katanya

Jauh berbeza dengan pencapaian dan kaedah pementadbiran Najib hari ini, menurut Khairy, kerajaan di bawah pemerintahan Najib lebih mampan berbanding Mahathir.

Ia boleh dilihat daripada idea yang lebih mengutamakan pembangunan modal insan berbanding membina dan menyiapkan bangunan semata-mata.

“Kita fikir jauh ke depan..bagaimana setiap ringgit pelaburan dapat memberikan kesan optimum dan menyeluruh. Tatkala kita ingin membina ECRL, betul ada pelaburan dari China dan buruh pun kita guna buruh luar.

“Namun, satu program latihan industri juga dibangunkan untuk lebih tiga ribu graduan tempatan agar kemahiran baru mereka pelajari.

“Apabila MRT dibina, kita bangunkan Akademi Latihan Terowong pada tahun 2011, untuk melatih anak muda tempatan dalam bidang tersebut. Matlamat kita adalah supaya anak muda Malaysia sendiri yang bina MRT2, MRT 3, ECRL dan sebagainya. Bukan itu sahaja, kita pastikan MRT sediakan peluang sebanyak RM22 bilion untuk syarikat bumiputera yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia di PWTC hari ini.-MalaysiaGazette