Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Walaupun diancam serangan oleh adiknya sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali enggan mengambil peduli mengenai soal tersebut kerana baginya perjuangan politik lebih penting.

Menteri Besar Selangor itu membidas Azwan Ali kerana menyeret keluarga dalam politik selepas mengumumkan kerjasama dengan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

“Pedulikan mereka, persetankan mereka! Saya berada dalam perjuangan ini bukan kerana bicara soal keluarga.

“Saya berada dalam perjuangan untuk mengangkat martabat rakyat dan menyelamatkan negara,” kata Mohamed Azmin dalam satu program anjuran pembangkang di Klang semalam.

Beliau juga mendakwa terdapat individu yang menentangnya kini menggunakan ahli keluarga yang tidak sebulu dengan beliau.

“Mana keluarga yang tidak bersama saya, mereka guna untuk menyerang saya,” katanya lagi.

Semalam, Jamal mengumumkan Azwan sebagai wakil calonnya di Bukit Antarabangsa dalam kempennya untuk menawan kerusi milik Azmin tersebut pada pilihan raya umum ke-14 nanti. – MalaysiaGazette