Home Dunia Dron India masuki China

Dron India masuki China

BEIJING – Sebuah dron milik India dikesan telah memasuki ruang udara China dan terhempas, kata media negara China.

Timbalan Pengarah Biro Pertempuran Barat, Zhang Shuili berkata, insiden itu berlaku baru-baru ini namun tidak memberikan lokasi yang tepat.

Beliau yang dipetik oleh agensi berita Xinhua sebagai berkata, India telah melanggar kedaulatan wilayah China.

Kedua-dua negara menyaksikan hubungan semakin buruk pada musim panas ini berhubung pertikaian di dataran tinggi Himalaya.

Dalam ucapan yang dipetik secara meluas oleh media-media kerajaan, Zhang berkata, pasukan sempadan China telah menjalankan “pengesahan” berhubung dakwaan dron.

Beliau menambah, China menyatakan rasa tidak puas hati dan menentang kuat mengenai perkara ini dan bertegas mahu melindungi hak dan keselamatan negara.

Hubungan antara kedua-dua negara memburuk pada bulan Jun apabila India menentang percubaan China untuk memanjangkan jalan di dataran Doklam/Donglang, di sempadan China, India dan Bhutan.

China dan Bhutan mempunyai tuntutan di dataran tinggi dan India menyokong tuntutan Bhutan.

Kedua-dua negara berperang di sempadan pada tahun 1962 dan perselisihan masih belum dapat diselesaikan di beberapa kawasan yang menyebabkan ketegangan meningkat secara berkala. – MalaysiaGazette