Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razakbersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (dua kanan) ketika mengaminkan berdoa selepas solat sunat hajat untuk kesejahteraan Baitulmaqdis yang diimamkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Dewan Tun Razak II, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. SAFWAN MANSOR, 08 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR –  “Nun jauh di mana adalah sahabat dan teman kami di Palestin, kau kurniakanlah pertolongan kepada mereka, sesungguhnya pengumuman ibu negara Tel Aviv kepada Baitulmaqdis untuk dijadikan ibu negara Israel adalah sesuatu yang menyentuh hati dan sanubari kami umat Islam di negara ini.

“Kami juga tumpang dilukai oleh perbuatan itu, Ya Allah. Kami juga merasakan kesedihan yang tinggi..(dengan nada sebak) sesungguhnya Baitulmaqdis adalah kiblat kami yang pertama.

“Sesungguhnya Rasullulah melakukan Israk Mikraj di sana.”

Ayat-ayat di atas adalah doa yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir sebaik beliau selesai mengimamkan solat hajat demi Palestin di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini yang sertai lebih 3,000 jemaah.

Solat hajat tersebut diadakan selepas solat Jumaat yang turut disertai Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan dua Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pergerakan Pemudanya, Khairy Jamaluddin.

Dengan nada sebak, Jamil Khir Yang mengetuai bacaan doa itu berkata, umat Islam di negara ini turut terkesan dengan pengumuman oleh Amerika Syarikat untuk membenarkan Baitulmaqadis dijadikan ibu negara terbaharu rejim Israel. – MalaysiaGazette