PULAU PINANG – Kira-kira 0.688 hektar (1.7 ekar) tanah milik rakyat negeri ini dijual kepada pemaju setiap hari oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sejak memerintah negeri ini sembilan tahun lalu.
Keluasan tanah itu, menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow, boleh membina 204 unit rumah kos sederhana rendah yang berharga RM72,500 semasa tempoh pentadbiran BN.
Tambah beliau, ini juga bermakna penduduk Pulau Pinang telah kehilangan peluang untuk memiliki sebanyak 204 unit rumah kos sederhana rendah setiap hari di bawah pentadbiran kerajaan DAP.
Jelasnya, berdasarkan rekod yang dikumpulkan menerusi laporan media dan catatan rasmi kerajaan negeri, seluas 2,204.24 hektar (5,446.8 ekar) tanah milik rakyat telah dijual Kerajaan DAP Pulau Pinang sepanjang sembilan tahun memerintah negeri ini.
Jumlah itu, katanya, jauh lebih tinggi berbanding 3,661 hektar tanah yang dijual sepanjang puluhan tahun pentadbiran kerajaan BN.
“Sebab itu Kerajaan DAP Pulau Pinang sebenarnya tidak memberi angka yang tepat kepada rakyat berhubung jualan tanah yang dilakukan mereka.
“Jika diikutkan dengan luasnya tanah yang dijual Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya dalam tempoh sembilan tahun memerintah, mereka sebenarnya sedang melakukan `jualan jumbo’ tanah milik rakyat negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang dilaporkan membuat perbandingan kononnya kerajaan negeri era BN sebelum 2008 mengutip RM1.0586 bilion melalui penjualan 1,481 hektar (3,661 ekar) tanah.
Sedangkan kerajaan negeri yang diketuai DAP sejak 2008 pula hanya menjual 42 hektar (106.1 ekar) tanah tetapi berjaya mendapat hasil lebih tinggi iaitu sebanyak RM1.1102 bilion.
Dalam pada itu, Chang Yeow menempelak Kerajaan DAP Pulau Pinang yang membandingkan hasil jualan tanah dilakukan mereka dengan yang diperoleh ketika era kerajaan BN yang disifatkan tidak adil.
Ini kerana, ujarnya, nilai tanah ketika era pentadbiran BN jauh lebih rendah berbanding nilai tanah hari ini sekali gus menyaksikan Kerajaan DAP Pulau Pinang mengaut keuntungan besar.
“Janganlah kelirukan rakyat dengan angka yang tidak tepat kerana ketika era BN memerintah dari tahun 90-an hingga 2008, harga tanah pada waktu itu tidak setinggi sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette