Home Seni Hidup Elyana ucap terima kasih kepada haters

Elyana ucap terima kasih kepada haters

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui perhatian tertumpu kepada penyanyi Elyana baru-baru ini selepas membuat pengumuman mengejut dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat.

Ramai peminatnya mendoakan kesejahteraannya, kekuatannya melawan penyakit itu.

Tidak kurang juga ada yang mengecam penyanyi lagu Niat itu sekadar meminta perhatian semata-mata.

Sebagai manusia biasa, Elyana sudah tentu akan terkesan dengan kritikan yang diberikan, ekoran itu dia meluahkan perasaannya di Instagram semalam mengucapkan terima kasih kepada haters.

“Terima kasih kerana menghina wanita ini. Terima kasih kerana mendoakan saya cepat mati. Terima kasih juga (kepada mereka) yang ambil kesempatan dan menuduh saya inginkan perhatian.

“Terima kasih juga yang menuduh tanpa bertanya cerita sebenar dan kata saya bercakap bohong fasal sakit ini.

“Terima kasih juga untuk anda yang gembira apabila saya sering dimalukan di khalayak ramai. Terima kasih semua. Tak apalah… Mungkin anda belum lagi berasa apa yang saya rasai selama ini,” tulisnya di laman sosial terbabit, yang disertakan dengan gambar dirinya menjalani rawatan kimoterapi pada Ramadan lalu.

Elyana yang mempunyai seorang anak perempuan itu turut berkata penyakit yang dialaminya ini merupakan takdir Tuhan dan menasihatkan agar ‘haters’ tidak perlu melemparkan kata-kata pedas kepadanya jika tidak mempunyai nasihat baik untuk diberikan.

“Saya juga sama seperti anda semua, manusia biasa… Saya tidak kuat. Saya punya keinginan, cita-cita dan ingin berasa sihat tanpa menahan sakit. Tapi ini takdir saya. Saya terima.

“Kita semua akan mati. Bukan pesakit kanser saja. Saya harap kita jaga amalan sendiri. Jika tiada apa yang baik untuk dikata, ditulis dan dilakukan, lebih baik berdiam,” tulis penyanyi itu.

Entri berkenaan sehingga kini mendapat hampir 64,655’like’ dan lebih 4,000 komen, yang pasti ramai di antara netizen memberikan kata-kata positif kepadanya agar tidak melayan kritikan sebaliknya fokus kepada kesihatannya. -MalaysiaGazette