Home Dunia Pendaki popular maut jatuh dari bangunan 62 tingkat

Pendaki popular maut jatuh dari bangunan 62 tingkat

Wu Yongning berkongsi rakaman video dalam salah satu aksi di Weibo. foto Agensi

BEIJING – Seorang pendaki China yang terkenal mati selepas terjatuh ketika menyertai cabaran mendaki bangunan pencakar langit.

Wu Yongning yang berjaya mengumpul beribu-ribu pengikut dalam rangkaian sosial Weibo menerusi video dramatik pendek dramatik menunjukkan dia berada di atas bangunan tinggi tanpa menggunakan peralatan keselamatan.

Kebimbangan dalam kalangan peminatnya meningkat apabila dia secara tiba-tiba berhenti menyiarkan perkembangan terbarunya pada bulan November.

Rupa-rupanya dia telah meninggal dunia selepas jatuh dari bangunan 62 tingkat di bandar Changsha pada 8 November lalu.

Kematian beliau disahkan oleh teman wanitanya.

Media China melaporkan Yongning, 26, terlibat dalam satu cabaran memanjat bumbung bangunan tinggi di bandar untuk memenangi sejumlah wang.

Penyertaan Yongning dalam cabaran itu mendapat perhatian dalam kalangan pengikut-pengikutnya.

Meskipun begitu, beliau sering mengingatkan jangan meniru aksinya yang memiliki latihan dalam seni pertahanan diri.

Ahli keluarganya memberitahu, Yongning menyertai cabaran itu kerana ganjaran wang lumayan sebanyak 100,000 yuan (11,300 pound) yang mahu digunakan untuk melamar teman wanita beliau.

Selain itu, wang tersebut mahu digunakan untuk merawat  ibunya yang sakit. – MalaysiaGazette