Home Politik Tidak perlu PRK di Parlimen Jelebu

Tidak perlu PRK di Parlimen Jelebu

Kertas undi awal tidak dikira awal seperti tular dalam media sosial
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah
KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Jelebu ekoran kematian penyandangnya, Datuk Zainuddin Ismail baru-baru ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, ini kerana kekosongan luar jangka itu berlaku telah melepasi tempoh kurang daripada dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.

“Memandangkan tempoh mandat Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 telah melebihi tempoh tiga tahun dan tiada pemberitahuan oleh Speaker mengenai keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka itu, maka SPR meluluskan bahawa tiada PRK bagi kerusi Jelebu akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Hashim berkata, beliau telah menerima surat rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 12 Disember lalu.

Mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, jika terdapat kekosongan luar jangka yang dipastikan dalam tempoh dua tahun sebelum mandat diberikan kepada Kerajaan Persekutuan akan terbubar, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi, melainkan Speaker Dewan Rakyat menyatakan keperluan untuk berbuat demikian. – MalaysiaGazette