Home Nasional Mangsa banjir di Sabah meningkat pagi ini

Mangsa banjir di Sabah meningkat pagi ini

Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Sebanyak 1,685 orang daripada 719 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan banjir di Daerah Kota Belud dan Daerah Kecil Membakut, sehingga jam 8 pagi ini berbanding 1,613 daripada 692 keluarga malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan pagi ini berkata lima pusat pemindahan dibuka di Daerah Kota Belud iaitu 540 orang (225 keluarga) ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 2 manakala 441 orang (227 keluarga) di Dewan Masyarakat Tun Said.

“Seramai 309 orang (90 keluarga) lagi ditempatkan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan 179 orang (77 keluarga) di Dewan SMK Agama Tun Said,” kata sekretariat itu.

Menurut kenyataan itu, pusat pemindahan banjir di Kompleks Sukan Botung menempatkan 134 mangsa daripada 69 keluarga.

Sementara itu, di Daerah Kecil Membakut, dalam kawasan Parlimen Kimanis, pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Membakut kini menempatkan 83 orang mangsa daripada 31 keluarga.

Pusat pemindahan berkenaan dibuka malam tadi bagi menggantikan pusat pemindahan Dewan Mini Puspanita yang tutup kerana tidak dapat menampung jumlah mangsa yang bertambah. – MalaysiaGazette