Home Politik PRU-14 laluan mudah Kit Siang jadi PM?

PRU-14 laluan mudah Kit Siang jadi PM?

Zainal Abidin Osman

PULAU PINANG – Penasihat DAP, Lim Kit Siang ditempelak supaya tidak terus menafikan hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri sejak mula menceburi politik dan bertanding kerusi Parlimen pada 1969.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, PRU-14 menyaksikan Kit Siang bakal memperoleh laluan mudah untuk menjadi Perdana Menteri itu sekiranya pembangkang berjaya merampas Putrajaya.

Ini kerana, menurut beliau, dua pemimpin utama Melayu dalam Pakatan Harapan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya boneka kepada DAP untuk meraih sokongan Melayu.

Malah, kata beliau, Anwar juga tidak layak diangkat menjadi Perdana Menteri kerana masih dipenjara manakala Mahathir pula sehingga kini tidak mempunyai kerusi Parlimen untuk ditandingi.

“Kedua-dua mereka hanyalah alat dan strategi politik DAP untuk meraih undi orang-orang Melayu iaitu menggunakan pemimpin Melayu sendiri untuk menghancurkan kuasa politik orang Melayu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, sebagai parti dominan dalam Pakatan Harapan juga, DAP hampir pasti akan mendapat jumlah kerusi paling banyak untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang berbanding parti lain.

Katanya, kerusi yang dulunya ditandingi Pas akan dituntut Parti Amanah Negara (Amanah) dengan sebahagiannya turut diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Melayu (PPBM).

Selain itum, tambahnya, PKR juga hampir pasti perlu berkongsi kerusi yang diperuntukkan kepada mereka kepada PPBM sekali gus mengukuhkan lagi penguasaan kerusi dipegang DAP.

“Adakah pemimpin utama DAP khususnya Kit Siang akan menolak jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU-14 dalam keadaan DAP menang paling banyak kerusi?” katanya.

Sehubungan itu, Zainal Abidin menggesa rakyat tidak terpedaya dengan muslihat licik politik pemimpin DAP yang ternyata tidak akan sesekali melepaskan kuasa politik dan jawatan jika diberi peluang.

“Kit Siang sendiri telah membuktikan corak pemerintahannya yang seolah-olah seperti seorang diktator apabila memegang jawatan utama dalam DAP selama 52 tahun manakala pemimpin yang tidak sehaluan dengannya pula disingkirkan,” katanya. – MalaysiaGazette