PARIS- Airbus mengesahkan berlakunya krisis pengurusan di dalam syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Operasinya, Fabrice Bregier akan meletakkan jawatan pada Februari 2018 manakala Ketua Eksekutifnya, Tom Enders tidak akan meneruskan kontrak selepas ianya berakhir pada 2019, jelas syarikat pengeluar pesawat itu dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, Ketua Eksekutif Airbus Helicopter, Guillaume Faury akan menggantikan Bregier sebagai presiden bahagian pesawat komersial utama.

Menurut syarikat itu, ahli lembaga pengarah perlu bertindak untuk memastikan pelan penggantian disusun dengan baik.

Pada 2018, lembaga pengarah akan menilai calon dalaman dan luaran sebagai ketua pegawai eksekutif.

“Bregier, lelaki Perancis berusia 56 tahun itu telah lama dilihat sebagai pengganti Enders, namun telah memberitahu kepada lembaga pengarah beliau tidak berminat untuk menyertai proses pemilihan CEO pada 2019.

“Dengan itu, beliau akan meletakkan jawatan pada Februari 2018 bagi meneruskan minatnya yang lain,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Enders berjanji beliau akan memastikan pelan peralihan yang licin. – MalaysiaGazette