Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengambil alih tugas agensi tertentu dan melakukan aktiviti melanggar undang-undang akan dibatalkan pendaftarannya serta-merta, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Zahid Hamidi.

Tambah beliau, jika siasatan menerusi laporan yang diterima berkenaan pergerakan NGO tertentu mendapati berlakunya perlanggaran undang-undang maka Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan mengambil tindakan bersesuaian dengan Akta Pertubuhan 1966.

“Segala pendaftaran dalam mana-mana pertubuhan tertakluk di bawah Akta Pertubuhan 1966. Pemantauan yang dilakukan bagi memastikan pertubuhan tersebut atau, mana-mana pertubuhan bergerak selaras dengan objektif pertubuhan serta perlembagaannya.

“RoS sentiasa mengikuti perkembangan dan semua pergerakan pertubuhan-pertubuhan supaya langkah pencegahan awal dapat diambil, justeru  sekiranya terdapat aduan terhadap sesebuah pertubuhan yang melakukan aktiviti melebihi atau melangkaui atau terkeluar daripada perlembangaan pertubuhan berkenaan atau melanggar undang-undang sedia ada dalam negara ini atau seolah-olah mengambil alih kuasa mana-mana agensi penguatkuasaan, maka RoS akan menjalankan pemeriksaan.

“RoS akan mengambil tindakan melalui siasatan yang dilakukan dan seterusnya pertubuhan berkenaan boleh dikenakan perintah pembatalan dibawah seksyen 13 Akta Pertubuhan Malaysia atau Akta 335… Seterusnya pertrubuhan tersebut boleh dibatalkan,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Khairul Azwan Harun berhubung langkah yang lebih berkesan untuk memastikan persatuan-persatuan dalam negara tidak menjangkaui batas perundangan.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam masa yang sama memaklumkan sebanyak 262 Persatuan Pengguna kini didaftarkan di bawah RoS.

Daripada jumlah tersebut 158 merupakan NGO yang aktif manakala sehingga 12 Disember tahun ini 104 dibatalkan atas sebab tertentu. -MalaysiaGazette