Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama sebahagian wakil kerajaan negeri Selangor ketika hadir bagi mendengar rayuan kes persempadanan semula kawasan pilihanraya di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibenarkan  meneruskan persempadanan semula di Negeri Selangor selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan SPR untuk mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 7 Disember lalu.

Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran itu dengan kemenangan 2-1 yang memihak kepada SPR.

Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Tan Sri Idrus Harun.

SPR hari ini memohon untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini untuk menghentikan proses persempadanan semula di Selangor.

Pada 19 Oktober 2016, Kerajaan Selangor memfailkan tindakan undang-undang terhadap SPR, Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bagi memohon agar notis urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya dibatalkan.

Kerajaan Selangor mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam menetapkan sempadan baharu kawasan pilihan raya.

Kerajaan negeri itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa notis berkenaan tidak mengandungi butiran lengkap dan oleh itu, boleh menyebabkan pemilih, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak dapat menunaikan hak mereka dari segi perlembagaan untuk memfailkan representasi.

Sehubungan itu, kerajaan Selangor meminta mahkamah mengetepikan notis berkenaan dan memerintahkan SPR menyiarkan notis baharu tentang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri itu.

Kerajaan Selangor kemudian memfailkan permohonan untuk mendapatkan enam jenis maklumat bagi prosiding semakan kehakimannya terhadap SPR dan untuk memeriksa balas pengerusi suruhanjaya itu.

Kerajaan Selangor mendakwa SPR bertindak secara melanggar Perlembagaan dan tidak munasabah dalam melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya apabila ia menggunakan rang daftar pemilih yang cacat.

Ini kerana kira-kira 136, 272 pemilih di negeri itu mempunyai alamat yang tidak sama seperti yang terkandung dalam rang daftar pemilih. – MalaysiaGazette