Datuk Seri Idris Haron

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Idris Haron mencadangkan Pas bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu kerana memiliki kekuatan dan jentera parti yang kukuh berbanding parti pembangkang lain.

Idris memberi respon selepas pengumuman Pas semalam yang mahu bertanding 22 kerusi DUN dan lima Parlimen di Melaka pada PRU-14, sekali gus dijangka mewujudkan saingan tiga penjuru di sebahagian besar kerusi di negeri tersebut.

“Pas adalah parti politik kanan di Melaka dan bukan asing di negara ini. Jika diikutkan, 22 kerusi tidak cukup untuk Pas bertanding.

“Pada pandangan saya, Pas patut bertanding semua kerusi DUN tanpa perlu memilih. Sebuah lagi adalah kerusi Parlimen Kota Melaka,” beliau dipetik berkata selepas menyampaikan sumbangan Krismas di Dewan Seri Bendahara, Ayer Keroh.

Terdahulu, Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sedik mengumumkan parti itu akan bertanding 22 kerusi DUN dan lima Parlimen pada PRU-14. – MalaysiaGazette