Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap sebak sebaik dilepaskan tanpa bebas daripada pertuduhan mencederakan muridnya selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes terbabit ditarik balik di Mahkamah Majistret Seremban. foto SAFWAN MANSOR, 19 DISEMBER 2017.

SEREMBAN – Cikgu Azizan Manap tidak menyimpan sebarang dendam terhadap seorang anak muridnya berikutan tuduhan terhadap dirinya kerana mendatangkan kecederaan baru-baru ini.

Dengan hati yang terbuka beliau memaafkan pelajar berkenaan sambil berharap dia akan berubah sikap serta dapat membezakan antara baik dan buruk.

“Saya akan mengajar seperti biasa dan akan lebih tabah dalam menghadapi dunia perguruan ini.

“Saya tidak berdendam kepadanya (pelajar terbabit) dan berdoa dia akan berubah sikap serta menjadi lebih matang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di luar Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini.

Bagaimanapun Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sekolah Rendah Taman Semarak Nilai, Negeri Sembilan itu mengakui terkilan dengan insiden yang berlaku.

Katanya, meskipun perkara itu boleh diselesaikan tanpa perlu dibawa ke mahkamah namun beliau yakin semua yang terjadi ada hikmahnya.

Beliau turut melahirkan rasa terharu dengan sokongan yang diberikan oleh guru-guru dan orang ramai apabila hadir di kompleks mahkamah mengikuti perbicaraan kesnya itu.

Mahkamah Seremban hari ini membatalkan perbicaraan kes Azizan yang dituduh kerana memukul seorang pelajar selepas keputusan dibuat oleh Peguam Negara.

Majistret yang bersidang bagi kes itu telah merekodkan arahan pendakwaan dan melepaskan Azizan daripada pertuduhan.

Sementara itu, peguam Azizan, Francis Pereira berkata, kes tersebut telah digugurkan oleh mahkamah dan tidak ada sebarang proses lagi selepas ini.

Bagaimanapun, setakat ini, pihaknya masih belum mengetahui sama ada laporan polis yang dibuat oleh keluarga pelajar terbabit sudah ditarik balik atau tidak.

“Ada kemungkinan pihak pendakwaraya akan mempertimbangkan semula berdasarkan dokumen-dokumen kalau mahu meneruskan kes meskipun mereka sudah tuduh sebelum ini,” katanya yang merupakan peguam dilantik oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia.

Pada Oktober lalu, Azizan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan memukul seorang pelajar.

Jika disabit kesalahan beliau boleh dihukum setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-dua sekali. – MalaysiaGazette

Comments are closed.