Sebahagian PATI yang ditahan PPM Wilayah Dua di kawasan hutan pesisir pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, semasa cuba keluar negara ini melalui jalan tidak diwartakan.

KOTA TINGGI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menggagalkan cubaan 20
pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang cuba keluar dari negara ini melalui jalan tidak diwartakan awal pagi ini.

Semua mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan semasa bersembunyu di kawasan hutan pesisir pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar di sini dalam empat serbuan berasingan pada 2 hingga 3 pagi.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu berkata, semua mereka ditahan semasa anggotanya menjalankan Op Landai di kawasan berkenaan, dipercayai sudah berada di situ sejak tiga hari lalu.

“Semasa menjalankan Op Landai anggota berjaya mengesan beberapa kumpulan PATI sedang bersembunyi di dalam hutan menunggu bot pancung untuk pulang ke negara asal melalui jalan tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, semua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette