foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Beberapa wakil rakyat Pas yang dijangka keluar parti kini sedang dipantau parti tersebut, kata Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit yang juga ketua pembangkang Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah menyertai Pakatan Harapan.

Beliau turut mendedahkan nama wakil rakyat yang sedang dipantau, seperti ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi serta wakil rakyat dari Kedah iaitu Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.

“Mereka menjurus ke arah sana (Pakatan Harapan) dari sudut program dan kehadiran, meninggalkan terus program-program Pas sejak sekian lama.

“Kita harap mereka ini istiqamah (dalam Pas), fikir balik tentang baiah, tentang orang ramai yang menyokong mereka di musim pilihan raya, di samping mengambil kira pengorbanan orang kampung,” beliau dipetik berkata.

Sementara itu, mengulas mengenai Amiruddin yang baharu sahaja menyertai Bersatu, Azman Shapawi menyifatkan wakil rakyat tersebut terlupa mengenai baiah yang pernah dilafazkannya ketika diangkat sebagai calon pada PRU lalu. – MalaysiaGazette